Tuesday, July 5, 2011

.::Ainul Mardhiah bidadari hiasan Syurga::.


Assalamualaikum wbt...


Kisah srikandi seterusnya ialah Ainul Mardhiah. Ainul Mardhiah yang bererti ''mata yang diredhai'' merupakan bidadari yang sangat rupawan dalam kalangan bidadari-bidadari yang lain. Boleh diibaratkan seperti bidadari yang paling amat sangat tercantik :).Dia telah diciptakan Allah SWT untuk seorang pemuda yang berjihad dan mati syahid di jalan Allah SWT.



Dirimu Taruhan Berjuta Pemuda

Suatu pagi di dalam bulan Ramadhan, Rasulullah SAW telah memberi targhib (ucapan-ucapan sebagai penyuntik semangat) kepada sahabat-sahabat yang berjihad pada agama Allah SWT. Rasulullah SAW berkata sesiapa saja yang keluar berjihad di jalan Allah, kemudian dia mati syahid, maka dia akan dikurniakan bidadari yang paling cantik dalam kalangan bidadari-bidadari syurga yang lain iaitu Ainul Mardhiah.

Apabila mendengar ucapan Rasulullah SAW itu, seorang pemuda ingin mengetahui bagaimana cantiknya bidadari yang disebutkan oleh Rasulullah SAW itu. Akan tetapi, pemuda itu merasa malu kepada sahabat-sahabatnya yang lain, dia agak keberatan untuk bertanyakan hal ini kepada Rasulullah SAW. Walau bagaimanapun, dia tetap akan keluar berjihad bersama-sama Rasulullah SAW.


Bermimpi Bertemu Bidadari Ainul Mardhiah

Sebelum tiba waktu zohor, telah menjadi sunnah Rasulullah SAW untuk tidur sebentar. Maka pemuda tadi pun tidur bersama-sama jemaah yang lain. Di dalam tidurnya, pemuda itu telah bermimpi bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian bersih lagi cantik dengan muka yang berseri-seri di suatu tempat yang sungguh indah. Pemuda itu pun bertanya, 

''Dimanakah aku sekarang?''

Lalu lelaki itu menjawab, 

''Inilah Syurga''

Kemudian pemuda itu menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan Ainul Mardhiah. Lelaki itu pun menunjukkan ke suatu arah. Pemuda itu pun berjalanlah mengikut arah yang ditunjukkan itu. Sampai di sebatang pohon, dia bertemu dengan seorang wanita yang amat cantik. Pemuda itu tidak pernah melihat kecantikan seorang wanita seperti itu di dunia. Dia pun memberi salam lalu bertanya,

''Adakah kamu Ainul Mardhiah?''

Wanita itu pun menjawab, 

''Bukan. Saya adalah khadamnya. Ainul Mardhiah ada dalam singgahsana''

Pemuda itu punberjalan dan memasuki mahligai yang cukup indah dan bertemu dengan seorang lagi wanita yang berganda-ganda cantiknya daripada wanita yang pertama tadi. Wanita itu sedang mengelap permata-permata hiasan dalam mahligai itu. Lalu pemuda itu memberi salam dan bertanya lagi, 

''Adakah kamu ini Ainul Mardhiah?''

Lalu wanita itu pun menjawab, 

''Bukan. Saya adalah khadamnya. Ainul Mardhiah ada di atas mahligai sana''

Pemuda itu pun menaiki anak-anak tangga mahligai permata itu, kemudian sampai ke satu mahligai.


Penantian Ainul Mardhiah

Di situlah dia melihat seorang wanita yang berganda-ganda cantiknya dari wanita pertama dan berganda-ganda lagi cantik dari wanita kedua. Wanita itu pun berkata,

''Akulah Ainul Mardhiah. Aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku''

Pemuda itu cuba mendekati Ainul Mardhiah, namun Ainul Mardhiah berkata kepada pemuda itu, 

''Kamu tidak boleh mendekati diriku kerana kamu masih belum syahid lagi''.

Pemuda itu terserentak dan terjaga dari tidur. Dia telah menceritakan mimpinya kepada sahabatnya dan memesan tidak menceritakan mimpinya kepada Rasulullah SAW.


Takdir telah menentukan

Di sebelah petang. pemuda itu dan sahabat-sahabatnya telah keluar berjihad bersama Rasulullah SAW. Takdir telah menentukan pemuda itu telah mati syahid.

Ketika menantikan waktu berbuka puasa di masjid. Sahabat pemuda yang mati syahid itu bangun dan merapati Rasulullah SAW. Dia telah menceritakan kepada Rasulullah SAW perihal sahabatnya yang gugur syahid itu. Ketika sahabat itu sedang bercerita, Rasulullah SAW hanya menjawab, ''Benar''. Setelah sahabat itu selesai bercerita, Rasulullah SAW berkata kepadanya, 

''Memang benar apa yang kamu ceritakan tadi. Sahabatmu itu sedang menunggu untuk berbuka puasa di dalam syurga''.

Takdir Allah SWT telah menentukan pemuda yang gugur syahid itu milik bidadari hiasan syurga, Ainul Mardhiah...





Nota:

(*_*) Khadam itu dari segi maksud ialah orang suruhan atau pesuruh atau orang gaji iaitu mereka yang kita suruh atau arahkan untuk membuat sesuatu perkara..

(*_*) Bidadari hiasan syurga...pembakar semangat perwira...sebagai ganjaran para syuhada..







No comments:

Post a Comment