Monday, July 4, 2011

.::Kesetiaan Nai'lah tiada tandingan::.



Assalamualaikum wbt...



Keistimewaan Na'ilah

Na'ilah binti Al-Farafishah adalah wanita yang cukup cantik, tinggi lampai, berkulit cerah dan mempunyai nilai akhlak yang tinggi. Dia wanita yang petah berbicara, seorang sasterawan dan juga penyair. Keistimewaan Na'ilah ini disampaikan oleh Said bin Al-Ash kepada Khalifah Uthman bin Affan. Tanpa berlengah lagi Khalifah Utman telah mengutus surat kepada Said untuk memintanya meminang Na'ilah bagi pihaknya. Na'ilah sungguh setia dan taat kepada suaminya. Oleh kerana dia mempunyai pandangan dan pentadbiran yang baik, maka Khalifah Uthman sentiasa meminta pendapat dan pandangan darinya dan kemudiaan membandingkannya pula dengan pendapat dirinya sendiri.


Peristiwa pahit sepanjang hayatnya

Na'ilah mempunyai kedudukan istimewa di antara isteri-isteri Khalifah Uthman yang lain dan mendapat kedudukan yang lebih tinggi daripada muslimat yang lain. Pengaruhnya kekal sehingga ke zaman pemerintahan Bani Umaiyah. Namanya mula diperkatakan semenjak pembunuhan suaminya. Mulai saat itu pelbagai peristiwa pahit menghantuinya.

Semasa hayatnya bersama Khalifah Uthman, dia sangat ikhlas dan sentiasa berada di sisi suaminya di dalam segala hal. Malah dia telah mempertahankan keselamatan suaminya dengan jiwa raganya.


 Ketika Fitnah melanda

Ketika fitnah melanda dan rumahnya dikepong oleh pemberontak, dia kekal berada di sisi suaminya dan menahan segala pukulan pedang dengan tangan dan tubuhnya sebelum pukulan itu terkena suaminya. Ketika salah seorang pemberontak  sedang menghayunkan pedangnya untuk menyerang suaminya, serta merta dia telah menahan pedang itu dengan tangannya sehingga terputus jari-jarinya. Dia terus menjerit meminta tolong. Lalu  seorang pengawal Khalifah Uthman  bernama Rabah segera datang membantunya dan membunuh pemberontak itu. Namun apabila datang pemberontak kedua telah berjaya menusukkan pedang ke perut Khalifah Uthman dan membunuhnya.

Na'ilah mengejar pemberontak yang cuba melarikan diri itu sambil menjerit ''Amirul Mukminin dibunuh orang!Amirul Mukminin dibunuh orang!'' sedangkan ketika itu darah masih mengalir dari jari-jemarinya.


Mendahului jenazah suaminya

Selepas peristiwa pembunuhan Khalifah, tidak seorang pun yang berani untuk menguruskan dan memandikan jenazah Saidina Uthman Affan.

Sehinggalah Na'ilah menghantar utusan kepada Jubair bin Hizam dan Hawatib bin Abdullah al- Uzza. Mereka juga tidak berani untuk mengebumikan jenazah beliau pada siang hari, akhirnya terpaksa dikebumikan antara waktu maghrib dan isyak, Nailah mendahului mereka dengan membawa lampu kecil untuk menerangi kegelapan malam.

Pertelingkahan terus berlaku

Peristiwa pembunuhan Khalifah inilah yang membawa kepada pertelingkahan dan perselisihan dua puak di antara Muawiyah dan Saidina Ali. Justeru, ratusan ribuan nyawa umat Islam terkorban akibat dari peristiwa ini. Bagi mendamaikan antara puak ini, Na'ilah telah menghantar surat kepada Muawiyah yang berbunyi,

“Jika dua golongan dari kaum itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya. Sekiranya salah satu keduanya melanggar perjanjian kepada yang lain, maka perangilah mereka itu sehingga mereka kembali kepada Allah.” 

Surat tersebut dihantar bersama pakaian Khalifah yang telah koyak dan dipenuhi darah. Pada butang bajunya diikat janggut khalifah yang dicabut oleh Muhammad bin Abu Bakar. Beliau juga turut mengirimkan lima jarinya yang terpotong sebagai tanda telah berlaku pembelotan dan pembunuhan ke atas khalifah.


 Lamaran Muawiyah ditolak mentah-mentah

Selepas kewafatan suaminya. Nailah terus diselubungi kesedihan yang teramat sangat sehingga datang Muawiyah meminangnya. Tetapi pinangan tersebut ditolak mentah-mentah, untuk mengelakkan dirinya terus dipinang, dia telah mencabut dan mematahkan gigi supaya dia kelihatan begitu hodoh sekali. Walaupun Khalifah Uthman telah wafat, baginya tiada perkahwinan kedua dalam hidupnya. Na'ilah Al- Farafishah lambang peribadi mulia seorang srikandi Islam yang sanggup menggadaikan jiwa raganya demi mempertahankan suami tersayang dan Islam tercinta di zamannya.Dia telah mengatakan,

''Demi Allah, aku tidak akan membenarkan lelaki lain menjamahku, di tempat yang dijamah oleh Uthman sama sekali!''


Kata-kata tersebut adalah lambang kecintaan dan kesetiaannya kepada suami tercinta yang telah dibunuh di hadapan mata kepalanya sendiri.Na'ilah juga banyak menggubah syair dan sajak yang diabadikan untuk suaminya.




Nota:

(*_*) Begitulah kisah Na'ilah Al-Farafishah..baginya tiada perkahwinan ke-2 dalam hidupnya..srikandi setia buahati saidina Uthman B. Affan...

(*_*) Adakah kita boleh menjadi sepertinya? adakah suatu hari nanti daku bisa menjadi isteri yang taat sepertinya??oh..Nai'lah kesetiaanmu pada Saidina Uthman tiada tandingan...engkaulah hiasan sebaik permata..

No comments:

Post a Comment